KOTA SAMARAHAN, 9 Mei: Tiga sahabat nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kampung Sigitin, Jalan Datuk Mohd Musa, di sini awal pagi tadi (Ahad).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata laporan berhubung kejadian diterima pada jam 2.21 pagi.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 mengenai kejadian kemalangan kendiri.
Anggota dari BBP Kota Samarahan terus ke lokasi kejadian dan setibanya mereka terus menjalankan operasi rawatan awal menstabilkan tiga mangsa sebelum kehadiran ambulan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga mangsa yang merupakan lelaki berusia 19 hingga 23 tahun selepas itu diserahkan kepada pihak paramedik.
“Mangsa seterusnya diserah kepada ambulan dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.15 pagi. — DayakDaily