Lelaki maut, kereta berlanggar dengan lori balak di Tatau

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa dari dalam kereta.

TATAU, 8 Mei: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori balak di Jalan Selangau-Tatau, Sungai Aping, di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak berkata laporan berhubung kemalangan diterima pada 4.40 petang.

Jelasnya, mangsa dikatakan tersepit di bahagian pemandu kereta dan perlu dikeluarkan dengan bantuan Bomba.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang bertembung dengan sebuah lori balak.

“Bomba dari Balai Selangau berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Proton Saga tersebut dan dia telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa yang dikatakan berusia sekitar 50an dan berasal dari Rumah Manja, Sungai Jelai itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pasukan bomba kemudian berangkat balik ke balai setelah selesai operasi. — DayakDaily