BINTULU, 24 Jan: Seramai tiga penunggang motosikal ditangkap selepas dikesan melakukan aksi merbahaya dalam Op Samseng Jalanan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu semalam.
IPD Bintulu menerusi Facebooknya berkata operasi tersebut dijalankan di Jalan Paragon, Jalan Pantai ABF, Tanjung Datu dan Sungai Plan dari jam 5 petang sehingga 10 malam,
Katanya, tujuh pemeriksaan dilakukan ke atas penunggang motosikal dan tiga daripadanya ditangkap kerana melakukan tunggangan merbahaya.
“Mereka menunggang secara melulu dan merbahaya serta melakukan aksi tunggangan motosikal dengan mengangkat tayar hadapan (wheelie) yang juga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Ketiga-tiga suspek ditangkap dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain itu, sebanyak 16 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu termasuk ubah suai ekzos, ubah suai struktur, tiada cermin sisi, tiada lesen dan nombor pendaftaran fancy.
“Polis akan meneruskan operasi sebegini dalam usaha membanteras kegiatan samseng jalanan, mat rempit yang menungang secara merbahaya yang boleh memudaratkan pengguna jalan raya lain,” katanya. — DayakDaily