IPD Kuching perhebatkan operasi ‘Op Samseng Jalanan’

Gambar komposit sepanjang operasi tersebut.

KUCHING, 28 Jun: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching perhebatkan lagi operasi Op Samseng Jalanan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah menegaskan operasi akan lebih kerap dijalankan terutamanya di lokasi tumpuan ramai dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut.

Katanya, melalui operasi tersebut, pihaknya akan mengesan pemandu atau penunggang yang memandu dan menunggang secara merbahaya.

Operasi terbaru adalah pada Ahad lepas, di mana sebanyak 55 buah kenderaan dan 67 orang diperiksa dalam operasi yang dijalankan di kawasa MASJA dari jam 4.30 petang hingga 11 malam.

Sebanyak 143 saman telah dikeluarkan dalam operasi tersebut iaitu 22 saman atas kesalahan ubahsuai struktur peralatan kenderaan, 19 saman nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, 18 saman tiada cermin sisi dan pelbagai lagi kesalahan lalulintas yang lain.

Padah juga menimpa tiga penunggang motosikal yang ditangkap kerana dikesan melakukan aksi ‘wheelie’.

Ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu atau menunggang secara melulu dan merbahayakan.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda RM5,000 hingga RM15,000 dan penjara serta hilang kelayakan lesen sehingga 5 tahun. — DayakDaily