Op Samseng Jalanan: Tujuh ditangkap, disyaki terlibat dadah dan aksi merbahaya di Bintulu

Pemeriksaan dilakukan oleh pasukan operasi.

BINTULU, 16 Ogos: Seramai tujuh lelaki ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Bintulu, termasuk lima daripadanya disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menerusi akaun Facebooknya memberitahu dua daripada suspek yang ditangkap kerana dadah didapati memiliki dua paket dadah jenis ganja seberat kira-kira 2.6 gram.

Katanya, tiga lagi ditahan kerana dadah telah disahkan positif dadah jenis ganja selepas saringan awal air kencing dijalankan.


Kes-kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) di bawah akta yang sama.

Selain itu, dua lagi suspek yang ditahan adalah kerana kesalahan menunggang motosikal dengan melakukan aksi yang merbahaya dan mereka disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sebanyak 13 buah motosikal telah disita sepanjang operasi tersebut yang dijalankan di Jalan Paragon, Pusat Komersial Assyakirin, Pasar Lama dan sekitar Kampung Masjid.

Seramai 65 orang dan 35 buah motosikal serta lima kereta diperiksa sepanjang operasi tersebut.

PDRM Bintulu menasihatkan orang ramai agar mengawal pergerakan anak masing-masing agar tidak terlibat aktiviti samseng jalanan dan penyalahgunaan dadah. — DayakDaily