Tiga hub inovasi digital akan dilancarkan di Sibu, Bintulu dan Miri

Len (kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah berupa televisyen kepada pengunjung Karnival Produk Hutan Bukan Kayu Sarawak 2018 (dua dari kanan) ketika merasmikan majlis penutupannya di Tebingan Kuching.

KUCHING, Nov 27: Kerajaan negeri dijangka akan melancarkan tiga lagi hub inovasi digital bagi kegunaan penduduk negeri ini memasarkan produk keluaran mereka secara atas talian ke luar negara sekitar Januari tahun depan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata demikian dengan tiga hub inovasi digital terbabit ketika ini sedang dalam pembinaan dan akan dilancarkan masing-masing di bahagian Sibu, Bintulu dan Miri.

“Hub Inovasi Digital di Sibu, Bintulu dan Miri akan siap dan akan dilancarkan yang amat berhormat Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) pada Januari akan datang,” katanya katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Karnival Produk Hutan Bukan Kayu Sarawak 2018 di Tebingan Kuching, di sini, semalam.


Len Talif tidak menjelaskan butiran lanjut mengenai tiga hub inovasi digital baru terbabit tetapiketika ini sebanyak dua hub inovasi digital sudah beroperasi di negeri ini iaitu Tegas Digital Inovation Hub di Icom Square di bandaraya ini dan satu lagi hub inovasi digital di Bahagian Sarikei.

“Bagi memasarkan produk, misalnya penduduk di Kuching ini, mereka boleh pergi ke Icom Square dimana terletaknya Tegas Digital Inovation Hub yang menyediakan jaringan Internet berkelajuan tinggi dari 100 hingga 250 megabit sesaat (mbps) dengan bayaran yang begitu murah supaya sesiapa sahaja boleh mula berniaga atas talian,” katanya.

Katanya kerajaan negeri sebelum ini bersetuju membuka hub inovasi digital di semua bahagian negeri ini supaya membolehkan penduduk negeri ini termasuk dari luar bandar dapat mengunakan jaringan Internet berkelajuan tinggi bagi memasarkan produk mereka ke luar negara serta berurus niaga dengan pantas.

Ini supaya penduduk negeri ini tidak perlu bergantung kepada bantuan agensi kerajaan negeri bagi memasarkan produk keluaran mereka seperti melalui penganjuran karnival itu yang membantu memasarkan barangan kraftangan keluaran penduduk luar bandar yang tinggal berhampiran kawasan pembalakkan.

Sementara itu mengenai karnival itu, Len mendedahkan tahun ini dianggarkan pesertanya mencatatkan jualan produk bukan kayu keseluruhannya mencecah RM80,000 selepas karnival berlangsung selama lima hari di Tebingan Kuching.

Menurutnya jualan tahun ini adalah sedikit rendah berbanding karnival itu pada 2017 yang dianggarkan mencatatkan jualan sehingga RM102,000.

“Karnival tahun ini juga dianggarkan menerima seramai 5,000 pengunjung berbanding seramai 6,000 pengunjung pada 2017. Ini kemungkinan disebabkan tahun ini hadiah cabutan bertuah bagi pengunjung karnival tidak ada membabitkan motosikal seperti tahun lepas,” katanya.

Sehubungan itu, Len Talif menyarankan Jabatan Perhutanan Sarawak yang menganjurkan karnival itu supaya berusaha menyediakan hadiah lebih lumayan kepada pengunjung karnival terbabit tahun hadapan termasuk kemungkinan menawarkan sebuah kereta bagi menarik lebih ramai pengunjung ke karnival terbabit.

Manakala keseluruhannya seramai 102 peserta karnival itu tahun ini yang meningkat berbanding tahun lepas dengan seramai 57 peserta itu adalah dari komuniti tempatan termasuk dari luar bandar manakala seramai 45 peserta adalah dari agensi kerajaan. — DayakDaily