Lelaki lesap wang RM110,000 ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 27: Seorang lelaki lesap wang sebanyak RM110,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan ‘Macau scam’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa berusia 24 tahun baru sahaja menamatkan pengajiannya.


Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada nombor 062854222 dan bercakap dengan seorang lelaki kononnya dari Mahkamah Majistret Melaka.

“Suspek kemudian mengatakan kad pengenalan mangsa telah digunakan untuk membuka kad Hong Leong Bank dan telah menggunakan sebanyak RM8,700 selama enam bulan lepas.

“Mangsa kemudian percaya dengan kata-kata suspek kerana rumah dia pernah dipecah masuk dan mangsa kehilangan Mykad pada waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mustafa menambah, panggilan telefon mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi lelaki kononnya anggota polis yang mengatakan mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram dan kes dadah.

“Suspek kemudian mengatakan telah membuat semakan ke atas akaun bank mangsa iaitu AmBank yang didapati adalah akaun bersama.

“Seterusnya suspek telah menyoal mangsa berhubung wang lebih RM100,000 yang ada di dalam akaun mangsa dan mangsa mengatakan duit tersebut adalah duit biasiswa,” katanya lagi.

Mustafa memberitahu, suspek kemudian meminta suspek memindahkan wang tersebut sementara siasatan dilakukan sama ada akaun bank mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram.

Katanya, suspek seterusnya mengarahkan mangsa memindahkan wang berjumlah RM110,000 ke empat akaun bank berbeza atas nama Mohamat Saifullah Khairi (AmBank), Mohammad Shahril Sahalie (Hong Leong Bank), Shirley Gani (Hong Leong Bank) dan Juti Richard (Hong Leong Bank).

“Selepas memindahkan wang itu, mangsa kemudian menghubungi adik dan emaknya dan mereka nasihatkan mangsa membuat laporan polis kerana telah ditipu sebanyak RM110,000,” katanya. — DayakDaily