Tiga bomoh palsu tipu wanita warga emas dipenjara 15 bulan

Ketiga-tiga tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuching.

KUCHING, Dis 19: Tiga bomoh palsu yang juga warga asing dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menipu seorang wanita tempatan hingga mengakibatkan kerugian kira-kra RM13,000 di Pekan Siburan pada 11 Disember lalu.

Hukuman tersebut telah dijatuhkan oleh Majistret Zuraidah Sharkawi selepas tertuduh iaitu Li Ruiwen, 50, Li Jinrong, 39, dan Augustini, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Li Ruiwen dan Li Jinrong merupakan warga China, manakala Augustini merupakan warga Indonesia.


Seorang lagi tertuduh, Fery, 47, iaitu lelaki warga Indonesia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Majistret Zuraidah kemudian menetapkan sebutan semula kes terhadap Fery pada 23 Januari dan perbicaraan pada 8 Februari tahun depan.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Rogayah Rosli, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menipu Phang Sia Feng, 57, dengan mengaku diri mereka sebagai bomoh dan dapat memberi rawatan membuang musibah yang kononnya bakal melanda keluarga mangsa.

Namun begitu, kesemua tertuduh meminta pengeras daripada mangsa sebagai rawatan membuang musibah itu.

Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata tertuduh kemudian bersetuju lalu pergi ke sebuah bank untuk mengeluarkan duit simpanannya dan menyerahkan barang kemasnya sebagai pengeras.

Mangsa kemudian dimaklumkan oleh tertuduh supaya membuka bungkusan ‘penawar musibah’ dalam tempoh tiga hari.

Selepas tiga hari, wanita terbabit kemudian bertindak membuka bungkusan tersebut sebelum terkejut mendapati hanya terdapat botol air mineral dan surat yang disimpan di dalam bungkusan itu.

Mangsa yang sedar sudah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut sebelum ketiga-tiga tertuduh ditangkap. — DayakDaily