Graduan UITM disaran berdikari sebagai usahawan

Sebahagian dari 1,400 pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda dan diploma UITM Sarawak yang menghadiri Malam Pra Graduan Sesi Disember 2017- Januari 2018 UITM Sarawak.

KUCHING, Dis 19: Graduan Universiti Teknologi Mara (UITM) Sarawak disarankan supaya tidak terlalu mengharapkan mencari pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian tetapi berusaha menceburi bidang keusahawanan mengunakan segala pengetahuan diperolehi semasa menuntut di universiti itu.

Rektor UITM Sarawak, Professor Datuk Dr Jamil Hamali berkata demikian kerana universiti terbabit mahu melihat lebih ramai graduannya menjadi usahawan berjaya yang mencipta dan menawarkan pekerjaan kepada orang lain dan bukan hanya pencari peluang pekerjaan.

“Selain daripada mengharapkan untuk mencari pekerjaan selepas tamat pengajian di UITM, kita juga ingin melihat lebih ramai graduan universiti ini yang mencipta peluang pekerjaan dengan menjadi usahawan dan menawarkan peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya ketika Malam Pra Graduan Sesi Disember 2017-Januari 2018 UITM Sarawak, di sini, semalam.


Majlis tersebut adalah bagi meraikan seramai 1,400 pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda dan diploma yang dijangka akan menamatkan pengajian mereka di UITM Sarawak semester ini dengan majlis juga dihadiri Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UITM Sarawak, Professor Madya Wan Akil Tuanku Abdullah.

Dr Jamil Hamali berkata adalah tidak mustahil bagi graduan UITM Sarawak menjadi usahawan berjaya yang menjadi majikan menawarkan peluang pekerjaan kerana sudah ramai graduan universiti sebelum ini telah mampu melakukannya.

Antaranya ialah Ikon Fesyen Negara, Datuk Tom Abang Saufi yang dipilih menjadi jemputan pada majlis tersebut supaya dapat berkongsikan pengalamannya dan menjadi sebagai satu motivasi kepada pelajar universiti terbabit yang bakal bergraduan untuk mempelopori bidang keusahawanan.

“Adalah tidak mustahil untuk anda (pelajar UITM Sarawak) berjaya mencipta nama seperti tetamu jemputan kita pada malam ini, Dato Tom Abang Saufi dan maka ambillah peluang untuk mendengar sendiri pengalaman beliau dalam mempelopori bidang keusahawanan,” kataya.

Professor Datuk Dr Jamil Hamali (tengah) dan Professor Madya Wan Akil Tuanku Abdullah (kiri) menyaksikan persembahan pelajar ketika menghadiri Malam Pra Graduan Sesi Disember 2017- Januari 2018 UITM Sarawak.

Disamping itu, beliau menasihatkan pelajar universiti terbabit yang belum menjadi graduan supaya tidak hanya terlalu menumpukan untuk menjadi terampil dalam akademik sahaja ketika menununtut di universiti itu tetapi juga mencari pelbagai ilmu lain yang dapat membantu mereka menjadi insan berjaya selepas tamat pengajian.

“Memiliki keterampilan akademik semata-mata sememangnya tidak mencukupi. Oleh kerana itu, UITM sentiasa memastikan semua graduan yang dilahirkan merupakan modal insan yang cemerlang keilmuannya, berkebolehan serta dinamik dalam memenuhi visi dan misi negara,” katanya.

Sementara itu, bagi memacu kepesatan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi, UITM Sarawak juga telah melipatgandakan usaha bagi meningkatkan dan menambahbaik potensi pembangunan pelajarnya supaya dapat menjadi golongan muda memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam era kecanggihan ekonomi digital.

“Antara usaha yang telah kita lakukan termasuklah menyediakan Makmal Dataraya atau Makmal Big Data (BDL) di Kampus Samarahan 2. Makmal ini telah dilancarkan secara serentak di beberapa kampus UITM melalui live streaming oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Okt 29 lalu,” katanya.

Jamil sehubungan itu berharap BDL terbabit dimanfaatkan sebaik mungkin pelajar dan pensyarah universiti itu bagi memenuhi keperluan kursus melibatkan pengunaaan Dataraya serta mendokong Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan bidang berteraskan ekonomi digital. — DayakDaily