Tiada bayaran tol di semua jambatan di laluan Jalan Pesisir Sarawak

Abang Johari (tiga dari kiri) bersama pemimpin GPS yang lain menunjukan isyarat jari ‘bagus’ pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rambungan.

Oleh Chris Bishop

LUNDU, Nov 24: Kerajaan negeri tidak akan mengenakan bayaran tol di setiap jambatan yang dibina di laluan Jalan Pesisir Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kemudahan infrastruktur itu disediakan percuma kepada rakyat dan sebagai usaha untuk merancakkan pembangunan ekonomi penduduk luar bandar.


“Pesan Tok Nan (mantan ketua menteri Pehin Sri Adenan Satem) dahulu, jika tiada feri kita bina jambatan dan jangan ada tol.

“Maka kita tidak kenakan bayaran tol, jambatan disediakan secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rambungan yang diadakan di Pekarangan Terminal Feri Batang Rambungan di Lundu, hari ini.

Selain pembinaan jambatan ini, tambah Abang Johari, kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut membina jambatan lain di sepanjang laluan Jalan Pesisir.

“Kita juga akan bina jambatan Batang Lupar, Batang Lassa, Batang Paloh, Batang Krian, Batang Saribas dan Batang Kemena.

“Semua jambatan ini tidak mengenakan bayaran tol, kerajaan negeri akan tanggung,” ujar beliau.

Pada sidang media selesai upacara, Abang Johari berkata projek Jalan Pesisir dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Beliau yakin dengan terbinanya jalan penghubung itu nanti, pembangunan di kawasan pesisir dapat dilaksanakan dengan mudah dan cepat.

Tambah Abang Johari, jumlah penduduk yang mendiami kawasan pendalaman atau pesisir adalah sangat besar dan mereka hendaklah disediakan dengan infrastruktur jalanraya, jambatan, bekalan elektrik dan air.

Di samping itu, katanya, kerajaan juga mengalakan penduduk di kawasan pendalaman untuk melibatkan diri dalam pertanian moden iaitu menggunakan kaedah pertanian pintar.

Abang Johari (tengah) bercakap kepada pemberita pada sidang media setelah selesai majlis.

Berhubung projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan, Abang Johari yakin ia akan merancakkan eko-pelancongan di Daerah Lundu, Sematan dan Telok Melano.

“Siap kelak kita akan memiliki 2 (jalan) akses ke Lundu iaitu menerusi Lebuh Raya Pan Borneo dan melalui Batang Rambungan.

“Pusat-pusat peranginan di Lundu akan menjadi nadi pembangunan pelancongan kerana kita tahu Lundu, Sematan dan Telok Melano adalah kawasan yang menarik.

“Terdapat tujuh taman negara di kawasan ini,” tegas beliau.

Projek Jambatan Batang Rambungan adalah di bawah pembiayaan kerajaan Sarawak selepas kerajaan persekutuan membatalkan pembinaannya sebelum ini.

Jambatan ini adalah antara tiga jambatan yang diluluskan kerajaan persekutuan sebelum ini tetapi tidak lagi diberi keutamaan, maka ia diambil alih kerajaan Sarawak menggunakan bajet Kerajaan GPS Sarawak sendiri.

Jambatan Batang Rambungan merupakan sebuah jambatan jenis ‘cable-stayed’ yang bernilai kontrak RM98.5 juta.

Panjang keseluruhan 560 meter dan dibina sebagai dua ‘lane single carriageway’ (JKR R5) dan tempoh pembinaan adalah 36 bulan. — DayakDaily