Tentera gagalkan cubaan seludup 800 kotak sosej dan 200 kotak belon

Anggota tentera merampas barangan yang disyaki diseludup keluar ke negara jiran.

BAU, Feb 13: Tindakan pantas sepasukan anggota tentera dari Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu DiRaja (11 RAMD) menahan dua pemandu lori dan berjaya membongkar sindiket penyeludupan keluar sosej mentah dan belon di Ladang Estet Jagoi, Duyoh-Serikin di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam itu, pasukan tentera berjaya merampas 800 kotak sosej mentah dan 200 kotak belon yang dimuatkan dalam dua lori jenis tiga tan.

Seorang jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, penahanan pemandu lori serta barangan rampasan itu dilakukan kira-kira 1.1 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua pemandu gagal menunjukkan dokumen sah mengenai barangan yang dibawa mereka.

“Kita percaya ratusan peket sosej dan belon itu disyaki diseludup keluar ke negara jiran dan dijual di sana.


“Jumlah rampasan barangan serta lori itu dianggarkan bernilai RM236,158.60,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, kesemua barangan rampasan termasuk pemandu lori telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut. — DayakDaily