300 eko beg diagihkan untuk kempen “Hentikan Pengunaan Plastik”

Dr Asmah (kiri) dan Jacqueline (tengah) menyampaikan eko beg kepada orang ramai yang membeli belah di pasaraya EMart Matang.

KUCHING, Feb 13: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Pasaraya EMart Matang dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) telah mengadakan kempen “Hentikan Pengunaan Plastik Beg, Gunakan Eko Beg,” dengan mengagihkan keseluruhan sebanyak 300 eko beg kepada orang ramai di pasaraya EMart Matang, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Kempen terbabit yang bermula jam 11 pagi sehingga 1 tengahari telah disertai warga media, kakitangan pasaraya Emart Matang dan kementerian itu dan dirasmikan Penolong Setiausaha, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr Asmah Othman dan juga dihadiri presiden KDJA, Jacqueline David Impi.

Dr Asmah berkata kempen terbabit adalah susulan ‘Kempen Jangan Mengunakan Beg Plastik’ yang telah dirasmikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian di pasaraya EMart Batu Kawa pada Feb 9 lepas.

“Jadi kempen hari ini ialah bagi kita berterusan mengalakkan orang awam untuk tidak mengunakan beg plastik tetapi mengunakan eko beg kerana kita tidak boleh memberhentikan orang ramai mengunakan beg plastik secara serta-merta,” katanya.

Ini kerana pengunaan beg plastik sudah menjadi budaya orang ramai ketika membeli belah di negeri ini, ditambah pasaraya tempatan juga memberikan beg itu secara percuma kepada pelanggan mereka bagi membawa barangan dibeli.

Beliau berkata eko beg terbabit diperbuat dari sepanduk atau ‘fishtail’ terpakai terkumpul dari pihak berkuasa tempatan dibawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan iaitu Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Majlis Daerah Serian dan Majlis Daerah Lundu.

“Bahan terpakai itu kemudian diberikan kepada ibu tunggal dan peserta program e-Kasih yang kemudian akan menghasilkan eko beg dari bahan tersebut dan kemudian dibeli kementerian bagi diberikan secara percuma kepada orang ramai melalui kempen ini,” katanya.

Kakitangan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Pasaraya EMart Matang dan ahli Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) yang menyertai kempen “Hentikan Pengunaan Plastik Beg, Gunakan Eko Beg,” di pasaraya EMart Matang.

Sementara itu, presiden KDJA Jacqueline berkata pembabitan warga media dalam kempen tersebut diharapkan akan meyakinkan orang ramai yang eko beg boleh menjadi ganti kepada beg plastik disamping boleh membantu menambah pendapatan ibu tunggal yang membuatnya.

“Ini kerana masyarakat tempatan percaya kepada warga media. Kalau kami buat, mereka akan ikut dan disamping itu kempen ini adalah usaha murni bagi menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata beg plastik telah banyak dihentikan penggunaanya di negara lain bagi melindungi alam sekitar dan hidupan liar temasuk spesis ikan dan penyu di lautan yang banyak mati tercekik kerana termakan beg plastik. — DayakDaily