Tebingan Bintangor, Tebingan Masjid perlukan ‘spotlight’ elak berlakunya jenayah

Program kepolisan komuniti yang berlangsung pada malam Rabu (19 Jan 2022).

KUCHING, 20 Jan: Program Kepolisan Komuniti oleh Balai Polis Sentral bersama Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Masjid dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) Bintangor berjalan dengan lancar semalam.

Program tersebut yang dijalankan dari jam 9 hingga 10.45 malam adalah bertujuan untuk menambah baik hubungan masyarakat dengan pihak polis.

Selain itu, ia juga sebagai langkah pencegahan jenayah terutamanya dalam mengenal pasti lokasi yang kerap belaku jenayah atau kegiatan penyalahgunaan dadah.


“Melalui program sebegini, kita berpeluang bertemu dengan masyarakat setempat dan dapat menerangkan lagi mengenai langkah-langkah pencegahan jenayah.

“Kita juga dapat menasihatkan mereka dan menjelaskan lebih lanjut mengenai apa tindakan undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya terlibat kegiatan jenahah aktiviti haram,” kata jurucakap program tersebut.

Selain itu, hasil daripada program tersebut juga, didapati terdapat beberapa kawasan masih gelap dan perlu dinaik taraf dengan kemudahan lampu.

“Kawasan seperti kawasan Tebingan Bintangor, Tebingan Masjid sehingga ke laluan Mungguk Kubur masih gelap dan perlu ada ‘spotlights’ terutamanya di kawasan antara tapak A’ATIC dan kiosk JKKK.

“Selain itu, pondok Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Unit Polis Pelancong Bahagian Pencegahan Jenahah Keselamatan Komuniti juga gelap dan ini termasuk kawasan jeti Kampung Bintangor,” katanya.

Tambahnya, dengan adanya pemasangan lampu yang lebih terang juga akan mengurangkan risiko vandalisme di kawasan tersebut nanti.

“Kita harap perkara ini akan mendapat perhatian daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE),” katanya.

Turut sama dalam program tersebut ialah Ketua Balai Polis Sentral ASP Ahmad Abang, Penghulu Iskandar, Abang Razak Dol dan Ibrahim. — DayakDaily