Bayi lelaki disyaki terjatuh dalam sungai, ditemui mati

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, 20 Jan: Seorang bayi lelaki berusia setahun lapan bulan ditemui mati dipercayai lemas di Kampung Muara Tebas, di sini semalam.

Menurut sumber, mangsa mula disedari hilang oleh ibunya yang ketika itu sedang memasak untuk makan malam sekitar jam 6 petang.

Usaha mencari mangsa dilakukan oleh keluarganya sehingga dia berjaya ditemukan terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 7.30 malam.


Mangsa kemudian terus dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan disahkan telah meninggal dunia.

Difahamkan mangsa sebelum kejadian telah keluar dari rumah dan dipercayai terjatuh dari atas jambatan rumah mereka.

Keadaan air ketika kejadian sedang pasang.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan.

Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). — DayakDaily