Tawaran dana RM1 bilion kepada kerajaan Persekutuan adalah niat murni kerajaan Sarawak

Dr Annuar Rapaee

KUCHING, Julai 28: Inisiatif kerajaan negeri menawarkan bantuan dana pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek membaik pulih dan menaik taraf sekolah daif di kawasan luar bandar negeri ini merupakan niat murni kerajaan Sarawak.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr Annuar Rapaee, berkata inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri menerusi pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini adalah demi kesejahteraan dan keselamatan warga pendidik dan pelajar di sekolah luar bandar negeri ini.

Menurut beliau, tawaran dana pinjaman berkenaan jelas membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan pelbagai infrastruktur pendidikan yang sempurna khususnya melibatkan sekolah di luar bandar.


“Secara peribadi saya melihat tawaran dana RM1 bilion ini boleh mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar dan warga pendidik,” katanya.

Dr Annuar menambah, tawaran seumpamanya bukan kali pertama dilakukan oleh kerajaan negeri Sarawak.

Jelasnya, sebelum ini, kerajaan negeri pernah juga menawarkan dana pinjaman kepada kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan terdahulu.

“Bagaimanapun tawaran itu ditolak, sebaliknya peruntukan khas RM1 bilion telah diluluskan ketika itu bagi tujuan berkenaan kerana menyedari kepentingan projek baikpulih dan naiktaraf sekolah daif berkenaan,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Abang Johari semasa merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat negeri 2018 di Betong telah mengumumkan kesediaan kerajaan negeri menawarkan dana pinjaman berjumlah RM1 bilion.

Tawaran dana pinjaman itu adalah untuk membantu membina semula sekolah usang di Sarawak sekiranya kerajaan Persekutuan menghadapi kekurangan dana.

Sebelum ini, DayakDaily melaporkan seorang guru wanita ditemui rentung dalam kebakaran kuarters kediaman di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu.

Mangsa, Catherine Janet Tiwi, 25, dipercayai maut setelah telah bertindak untuk menyelamatkan dua orang rakan gurunya semasa kejadian berlaku.

Dua guru yang melecur dikenali sebagai Nur Syuhada Azahari dilaporkan melecur 22 peratus di bahagian muka dan badan serta seorang guru lagi dikenali sebagai Siti Masrina melecur bahagian kaki. — DayakDaily