Tawar seks guna WeChat, polis berkas empat wanita

Anggota polis menyoal siasat seorang wanita yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks di Bintulu.

BINTULU, Ogos 20: Tindakan empat wanita yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan menggunakan aplikasi WeChat akhirnya mengundang padah apabila mereka ditahan di sebuah hotel di Jalan Tanjung Batu di sini semalam.

Kesemua individu termasuk tiga wanita asing berusia 20-an itu dicekup polis pada pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili berkata, semasa serbuan itu, keempat-empat wanita berkenaan dikatakan sedang menunggu pelanggan masing-masing di bilik.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kesemua wanita berkenaan bertindak secara solo menawarkan perkhidmatan seks dengan menggunakan aplikasi WeChat.

“Semasa serbuan itu, polis telah merampas empat telefon bimbit, 14 kondom, krim pelincir seks jenis dan tiga pasport milik tiga wanita warga asing tersebut.

“Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM4,083 dipercayai hasil daripada kegiatan haram terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkipli memberitahu, siasatan lanjut mendapati setiap pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan seks dengan wanita berkenaan dikenakan bayaran sebanyak RM230.

Katanya, semua wanita itu ditahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan atas kesalahan memperdagangkan tubuh.

“Tiga wanita warga asing itu juga disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salahguna pas lawatan sosial,” ujarnya. — DayakDaily