Rakyat Sarawak diseru bersama raikan Hari Kebangsaan 2018

Ali (empat dari kiri) memukul gong sebagai simbolik perasmian KKJG 2018.

SARATOK, Ogos 20: Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju menyeru rakyat di negeri ini agar mempertingkatkan semangat sayangkan dan cintakan negara selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2018 ‘Sayangi Malaysiaku’.

Menurutnya, keistimewaan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ialah bersama kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) yang baharu tiga bulan memerintah negara.

“Pada masa inilah sahaja, kita rakyat Malaysia meraikan perayaan bersama, sambutan Hari Kebangsaan.


“Rakyat perlu ingat bahawa Jalur Gemilang adalah lambang yang menunjukkan semua rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatu dalam Malaysia,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) 2018, Peringkat Bahagian Sri Aman dan Betong di Rumah Rosita Dugat, Nanga Budu di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian itu menambah, semua pihak juga diseru supaya bekerjasama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, beliau turut menggalakkan rakyat negeri ini untuk sama-sama menyambut Hari Kebangsaan.

“Dengan pemerintahan baharu, sama-samalah kita sayangi Malaysiaku bagi menyahut slogan Hari Kebangsaan pada tahun ini,” ujarnya.

KKJG merupakan program tahunan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat serta menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang sepanjang masa.

JAPEN Bahagian Sri Aman dan Betong telah mengambil inisiatif melancarkan kempen ini di Rumah Rosita Dugat, Saratok bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di sana untuk sama-sama menzahirkan rasa kasih sayang kepada negara dan menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang merangsang ke arah pembentukan semangat tersebut.

Antara aktiviti yang di adakan gotong-royong mengantung Jalur Gemilang di rumah panjang, menjahit Jalur Gemilang oleh masyarakat pelbagai kaum termasuk Iban, Melayu dan Cina, pertandingan mewarna Jalur Gemilang bagi warga emas, senam seni patriotik dan pertandingan karaoke patriotik. — DayakDaily