Tangani segera masalah di Tanah Perkuburan Islam Seruai, gesa Lakis

Dr Abang Ismail (kanan) bersama wakil-wakil agensi berkaitan dan penduduk kampung meninjau kawasan Tanah Perkuburan Islam Seruai, Spaoh yang terjejas.

KUCHING, Jun 28: Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (Lakis) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Tanah Perkuburan Islam Seruai, Spaoh menggesa tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah hakisan tebing Sungai Saribas, yang menjejaskan ratusan kubur di tapak perkuburan berpusat itu.

Pengerusinya, Dr Abang Ismail Abang Julhi berkata antara tindakan segera yang perlu adalah mempercepatkan projek pemutihan lot tambahan tapak perkuburan baharu yang sudah lama diluluskan.

“Ini penting bagi memudahkan Lakis bekerjasama dengan jawatankuasa masjid dan surau di kawasan terbabit supaya dapat membuat pemindahan kubur ke tempat yang lebih selamat,” katanya ketika ditemu-bual, hari ini.


Semalam, Dr Abang Ismail telah turun meninjau kawasan tapak perkuburan tersebut setelah ia dilaporkan terjejas teruk oleh hakisan tebing, dipercayai berpunca daripada aktiviti pengorekan pasir di Sungai Saribas.

Wakil-wakil agensi berkaitan dan penduduk kampung meninjau kawasan tebing Sungai Saribas yang runtuh sehingga menjejaskan Tanah Perkuburan Islam Seruai, Spaoh.

Turut serta wakil-wakil dari agensi yang berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Jabatan Agama Islam (JAIS) serta syarikat pelesen pengorekan pasir terlibat.

“Saya berharap selepas ini, apa-apa kaitan dengan tindakan aktiviti pengorekan pasir di kawasan Sapoh perlu dilaporkan kepada Lakis,” katanya.

Manakala JTS, telah menyatakan bahawa kerajaan negeri telah mengenalpasti dan meluluskan kawasan perkuburan baharu untuk menyelesaikan masalah hakisan Tanah Perkuburan Islam Seruai.

Menurutnya kawasan perkuburan baharu itu adalah bersebelahan dengan tapak perkuburan sedia ada yang dikenali sebagai lot 999 blok 13 Paku Land District.

Menjelas lanjut, ia menyatakan isu hakisan yang melibatkan kawasan tanah perkuburan tersebut sudah pun dibincangkan sejak tahun 2000 lagi, lebih-lebih lagi dengan tapak tanah perkuburan yang berada di tebingan sungai.

“Sebab itulah sebagai langkah jangka panjang, kerajaan telah mengenalpasti dan meluluskan kawasan perkuburan baharu di kawasan ini,” katanya.

JTS juga menambah bahawa isu berkenaan timbul malah sebelum operasi pengorekan pasir yang hanya bermula sekitar Ogos 2017.

Katanya peselenan yang diluluskan untuk aktiviti pengorekan pasir di kawasan ini telah pun memperolehi kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada NREB.

Malah, pelesen juga disyaratkan menyediakan Laporan Pemantauan Alam Sekeliling (EMR) bagi tujuan pemantauan dan penilaian semula.

“Aktiviti ini dilakukan sejauh lebih satu kilometer dari kawasan tapak perkuburan,” katanya.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah kawalan dan siasatan terperinci ke atas isu ini, JTS telah pun mengeluarkan arahan pemberhentian kerja serta merta kepada pelesen yang terlibat. — DayakDaily