Taman Islam Darul Hana terap konsep masjid dalam taman

Taib menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Taman Islam Darul Hana sambil diperhatikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kiri) di Petra Jaya, Kuching. — gambar fail

KUCHING, 28 Okt: Masjid Darul Hana dan Taman Islam Darul Hana akan menjadi model penempatan Melayu moden yang tersusun dan dinamik di Sarawak pada masa akan datang.

Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) menerusi satu kenyataan mendedahkan pembinaan taman terbabit melibatkan kos sebanyak RM6.8 juta diilham daripada Masjid Sultan Qaboos di Muskat, Oman.

“Senibina taman dan lanskap di masjid tersebut menjadi inspirasi untuk menyerlahkan kecantikan lanskap yang memperlengkapkan keindahan senibina di Masjid Darul Hana ini.

“Projek pembinaan Taman Islam Darul Hana ini sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk merealisasikan konsep ‘masjid dalam taman’ di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Projek tersebut meliputi pembinaan enam gazebo, parkir kenderaan, kios, tandas awam dan ruang legar di kawasan seluas 12.32 ekar.

Pembinaannya melalu dua fasa dengan fasa pertama bermula pada Mac tahun lalu dan siap pada Oktober ini.

Fasa kedua pembinaan taman terbabit masih dalam proses perancangan dan pembinaamn fasa terbabit dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lapan bulan dari tarikh permulaan projek.

Fasa pertama taman tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sempena sambutan Maulidul Rasul 1442 Hijrah peringkat negeri Sarawak. — DayakDaily