SEDC terus sokong usahawan tempatan

Abdul Hadi (tengah) bersama Jane Lian (kanan) dan Pengarah Bahagian Kejuruteraan, Rozita Ibrahim sedang berbincang mengenai keadaan di Damai Central.

KUCHING, 28 Okt: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) melalui anak-anak syarikatnya, akan terus menyokong usahawan tempatan yang beroperasi di pelbagai premis perniagaan dibawah pengurusannya.

Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Abdul Kadir berkata, ia juga sebagai komitmen terhadap usaha pemulihan setelah wabak Covid-19.

SEDC, katanya, akan mengawasi perkembangan keadaan semasa yang berada di bawah program pembangunan keusahawanannya.

“Terdapat premis seperti di Damai Central di mana perniagaannya semakin meningkat terutamanya pada hujung minggu yang dikunjungi oleh penduduk bandar yang datang bersama keluarga dan rakan mereka.

“Damai Central sekarang dikunjungi oleh ramai pengunjung terutama pada hujung minggu dan ini adalah perkembangan yang baik untuk peniaga kecil tempatan yang berjual di gerai makanan dan minuman yang terdapat di gerai-gerai makanan disana,” menurut Abdul Hadi menerusi satu kenyataan hari ini.

Justeru, tambah beliau, SEDC akan terus memberi sokongan kepada mereka selain daripada menjaga kemudahan dan kebersihan di Damai Central.

Ujar beliau lagi, Bahagian Pelancongan dan Perhotelan (THD) dan Kampung Budaya Sarawak (SCV) akan juga mengadakan lebih banyak pertemuan dengan para peniaga gerai makanan di Damai Central sebagai usaha berterusan untuk berinteraksi dengan pihak peniaga di sana.

“Baru-baru ini kami ada mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan mereka untuk mengatasi masalah bekalan air yang sedang diperbaiki.

“Masalah bekalan air di Damai Central berlaku akibat pecahnya saluran paip lama yang menuju ke tempat tersebut dan langkah pembetulan sementara sedang dilakukan oleh pihak SCV,” kata Abdul Hadi.

Sementara itu, Pengurus Besar SCV, Puan Jane Lian Labang berkata ramai warga tempatan telah berkunjung ke Damai Central setiap hujung minggu untuk menikmati pemandangan matahari terbenam bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Kebanyakannya adalah belia yang akan menghabiskan masa mereka disini kerana suasana yang menawarkan peluang terbaik bagi mereka untuk berehat dan bersantai,” katanya.

Menurutnya, SCV masih memberikan tawaran potongan untuk penduduk tempatan yang ingin melawat rumah rumah tradisional disana dan menikmati makanan tempatan yang terdapat di Budaya Restaurant. — DayakDaily