Tak perlu risau kemunculan Omicron XE di Thailand, kata Abdul Karim

Abdul Karim mengagihkan bubur lambuk kepada salah seorang pengguna jalan raya.

ASAJAYA, 6 April: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyeru orang ramai tidak risau dengan kemunculan varian Omicron XE di Thailand.

Menurut beliau, varian Covid-19 yang melanda dunia sejak 2019 lalu memang sentiasa berubah.

“Tetapi kita akan dimaklumkan sama ada varian Omicron XE ini sudah sampai ke tempat kita dan bahayanya.


“Pada masa ini saya rasa ia tidaklah bahaya sebab kalau tidak, Thailand sudah pun ditutup.

“Saya percaya pintu masuk ke Thailand memang terbuka dengan pelancong-pelancong boleh datang. Jadi, kita tidak perlu risau,” katanya ketika ditemui di Asajaya hari ini.

Terdahulu Abdul Karim yang juga Adun Asajaya telah menyempurnakan Program Pengagihan Bubur Lambuk kepada pengguna jalan raya bertempat di hadapan SMK Hajah Laila Taib.

Program yang melibatkan 500 paket bubur lambuk tersebut dianjurkan PEMADAM Sarawak.

Pada semalam, Thailand melaporkan kes pertama Omicron XE iaitu gabungan dua versi bagi varian Omicron terdahulu, sejurus selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai subvarian itu.

Penemuan XE, gabungan mutan dari varian BA.1 dan BA.2, sudah dilaporkan oleh Pusat Genomik Perubatan Hospital Ramathibodi.

Dalam catatan di laman Facebooknya, pusat itu memaklumkan rekombinan XE ditemui melalui penjujukan genomik sampel calitan yang diambil daripada pesakit.

Katanya, rekombinan XE itu bukanlah varian Deltacron, sebaliknya adalah sesuatu yang baru.

Omicron XE pertama kali dikesan di United Kingdom (UK) pada 19 Januari lalu dan lebih daripada 600 jujukan sudah dilaporkan, sebelum penemuannya disahkan.— DayakDaily