Syarikat telekomunikasi menawar pelbagai inisiatif bagi calon SPM STPM dan B40 tahun depan

Kenyataan Media SKMM hari ini

KUCHING, 19 Dis: Syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile, YTL dan TIME akan menyediakan pelbagai inisiatif kemudahan internet bagi calon SPM dan STPM dan isi rumah B40 di seluruh negara tahun depan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan medianya hari ini mendedahkan antara inisiatif terbabit ialah Pelan Data Khas, Program Learning From Home (LFH), kelas dalam talian percuma, Pusat Internet Komuniti dan WIFI Percuma.

“Bakal dilaksanakan bermula suku pertama 2021 nanti, inisiatif-inisiatif yang dimaksudkan itu termasuklah Pelan Data Khas kepada calon-calon SPM dan STPM sehingga tamat peperiksaan pada akhir April 2021,” menurut kenyataan itu.

SKMM berkata dalam pakej Pelan Data Khas terbabit lima syarikat telekomunikasi iaitu Digi, Celcom, Maxis, TM dan U Mobile akan menawarkan kemudahan pas data prabayar pada harga RM20 untuk 15GB bagi tempoh 30 hari bermula 6 Januari 2021.

“Manakala program Learning From Home (LFH) oleh syarikat YTL telah dilanjutkan sehingga SPM dan STPM. Di bawah LFH ini, pakej percuma dan kad SIM juga ditawarkan kepada para pelajar di seluruh negara,” menurut SKMM dan menanmbah dibawah program itu para pelajar daripada golongan B40 juga boleh memohon untuk mendapatkan telefon bimbit secara percuma.

Selain itu SKMM mendedahkan lima syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis,TM, dan YTL masing-masing akan melanjutkan kelas-kelas dalam talian percuma mereka.

Senarai kelas terbabit ialah Tuisyen Rakyat (Celcom), Jom Tuisyen (Digi), e-Kelas (Maxis), I-Learn Ace (TM) dan Learn From Home (YTL).

“Sementara itu, waktu operasi Pusat Internet Komuniti (PIK) kini akan dilanjutkan daripada jam 9 pagi sehingga jam 9 malam bagi memberikan peluang kepada calon-calon SPM dan STPM serta B40 untuk memanfaatkan kemudahan untuk sesi pembelajaran dan urusan seharian mereka,” menurut SKMM.

Turut dilaksanakan dibawah inisiatif ini ialah pemberian capaian WIFI percuma di kawasan umum 130 Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara sehingga akhir April 2021.

Pemberian capaian WIFI percuma terbabit disediakan oleh dari Celcom, Digi, Maxis, TM, U Mobile dan TIME.

Justeru itu, pihak SKMM merakamkan penghargaannya kepada syarikat telekomunikasi terbabit dan berharap calon SPM, STPM dan kumpulan isu rumah B40 akan dapat memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan itu. — DayakDaily