Syarikat promosi skim piramid dan pengubahan wang haram didenda RM9 juta

Court - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 1 Sept: Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM9 juta terhadap sebuah syarikat yang mempromosikan skim piramid dan melakukan pengubahan wang haram.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi satu kenyataan mendedahkan denda dikenakan atas tiga pertuduhan iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen, mempromosikan skim piramid dan pengubahan wang haram.

Hakim Datin Sabariah Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas pemilik syarikat terbabit selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut

“Bagi pertuduhan pertama iaitu kesalahan dibawah Seksyen 4 (2) menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memegang lesen, Mahkamah telah memerintahkan OKS membayar denda sebanyak RM300,000.

“Pertuduhan kedua, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 27B AJLSAP 1993, menyebabkan supaya dipromosikan skim piramid, OKS yang didenda RM1,700,000.

“Pertuduhan ketiga pula, OKS didenda RM7,000,000 dan wang tunai di dalam 17 akaun yang disita berjumlah RM998,196.06 dilucutkan dan dijadikan hasil kepada kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan skim-skim yang menawarkan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat terutamanya skim-skim yang menjana pendapatan dengan cara memperkenalkan ahli baru.

Katanya, orang ramai perlulah menyelidik dan memeriksa terlebih dahulu dengan mana-mana agensi seperti KPDNHEP, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan sebagainya sama ada sesebuah syarikat yang menawarkan apa-apa skim tersebut berdaftar dan mempunyai lesen dengan agensi-agensi berkaitan. — DayakDaily