Susulan kes bunuh: Polis sahkan mangsa mati akibat hentakan kuat objek tumpul

Gambar fail: Polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati dipercayai dibunuh.

SIBU, Ogos 4: Polis mengesahkan pendarahan di kepala akibat hentakan kuat daripada objek tumpul merupakan punca kepada kematian seorang penjawat awam wanita yang ditemui mati di dalam rumah sewanya di Jalan Tiong Hua di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, punca kematian wanita berusia 26 tahun itu diketahui hasil laporan bedah siasat mayat mangsa yang diterima dari Unit Forensik Hospital Sibu, hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat juga mendapati mangsa mengalami banyak kesan kecederaan pada bahagian muka, kepala dan lehernya.

“Tidak cukup dengan itu, laporan bedah siasat juga menunjukkan terdapat kesan retak pada tengkorak mangsa selain pendarahan di otaknya serta lebam di kepala wanita berkenaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Stanley memberitahu, polis masih memburu seorang lelaki bernama Philip Uja, 40-an bagi membantu siasatan.

Dilaporkan sebelum ini, seorang lelaki yang dipercayai ‘kenalan’ kepada wanita yang ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah rumah sewa di Jalan Tiong Hua di sini sedang diburu polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun buat masa ini polis sedang memburu lelaki yang berasal dari Kanowit itu.

Lelaki itu dikehendaki susulan maklumat yang diterima daripada rakan-rakan mangsa yang mendakwa simati sebelum ini ada memberitahu lelaki berkenaan ada berjumpa dengannya.

Berdasarkan maklumat, lelaki berkenaan ada datang di sekitar kawasan rumah sewa mangsa pada malam 1 Ogos lepas.

Ini mengukuhkan lagi dakwaan bahawa mereka saling mengenali, namun polis tidak mengetahui hubungan jelas antara simati dengan mangsa.

Orang ramai yang ada maklumat mengenai Philip agar menghubungi Balai Polis Sentral Sibu di talian 084-336144. — DayakDaily