Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas tahun ini

File photo for illustration purposes

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 15: Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) akan dilaksanakan sepanjang tahun 2019.

Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak (JPMNS) dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, kerja-kerja pungutan data telah bermula Januari hingga Disember 2019 di seluruh negara oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kata JPMNS, tujuan utama survei itu adalah untuk mengumpul maklumat taburan pendapatan dan pola perbelanjaan isi rumah.

“Survei ini juga dilakukan bagi mengenal pasti golongan sasar seperti isi rumah B40 dan miskin di samping tahap kemudahan asas yang dinikmati oleh isi rumah di Malaysia yang antaranya meliputi pendidikan, kesihatan, perumahan dan peralatan isi rumah.

“Penemuan daripada survei ini akan digunakan oleh kerajaan bagi tujuan perancangan dan pemantauan, terutamanya dalam penyediaan Rancangan Malaysia,” kata JPMNS hari ini.

JPMNS menambah, survei HIES/BA ini telah dilaksanakan semenjak Rancangan Malaysia Pertama lagi iaitu pada tahun 1973 dan tahun ini merupakan survei yang ke-19 dilaksanakan.

Ia juga telah menjadi teras kepada input pembangunan negara khusus dalam menambahbaik ketidakseimbangan pendapatan; meningkatkan taraf isi rumah B40 ke arah masyarakat kelas menengah dan memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah, memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.

“Penemuan survei sentiasa dinantikan oleh kerajaan dan penganalisis untuk menilai kemajuan negara terutama berkaitan agihan pendapatan yang dinikmati oleh rakyat.

“Berdasarkan dapatan survei HIES/BA 2016, pendapatan penengah (median) isirumah di Sarawak adalah RM4,163 yang mana lebih rendah berbanding pendapatan median peringkat nasional iaitu RM5,228,” tambah JPMNS.

Secara purata, isirumah di Sarawak berbelanja RM3,118 sebulan bagi perbelanjaan penggunaan berbanding perbelanjaan purata nasional (RM4,033).

Manakala insiden kemiskinan di Sarawak mencatatkan 0.6 peratus berbanding nasional 0.4 peratus pada tahun 2016.

Dianggarkan sejumlah 14,300 isirumah terpilih di seluruh negeri dan daerah pentadbiran di Negeri Sarawak akan dilawati mulai Januari hingga Disember tahun ini.

Selaras dengan tagline “Data Penentu Kesejahteraan Rakyat”, maka peranan masyarakat amatlah penting untuk memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat yang tepat kepada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Statistik berkualiti yang diperoleh akan dapat membantu kerajaan membuat keputusan berasaskan bukti. — DayakDaily