Suntikan pelaburan melebihi RM100 bilion sehingga 2030 — Abang Johari

Abang Johari (berdiri tengah) menyaksikan MoU di antara SEB dan CIDB.

KUCHING, 16 Ogos: Suntikan pelaburan oleh kerajaan Sarawak dan syarikat swasta dalam pelbagai aktiviti ekonomi sehingga tahun 2030 mencecah angka RM100 bilion, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abang Johari, kerajaan Negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) terdahulu menganggarkan suntikan pelaburan sebanyak RM64 bilion.

Katanya, ia bagi mencapai kadar pertumbuhan ekonomi 6 hingga 8 peratus setiap tahun yang seterusnya meletakkan Sarawak di landasan menjadi negeri maju berpendapatan tinggi.


“Sekarang saya rasakan RM64 bilion yang kita anggarkan adalah satu jumlah yang konservatif. Ini adalah kerana Sarawak Energy Berhad (SEB) bakal melabur sebanyak RM40 bilion sehingga 2026.

“Itu hanya jumlah pelaburan SEB sahaja, tidak mengira pembinaan loji hidrogen oleh Sumitomo Corporation dan Samsung yang melibat pelaburan sebanyak RM50 bilion. Dan kita juga akan melabur di dalam loji penapisan gas masam.

“Dalam kata lain sehingga kini, lebih kurang RM100 bilion bakal disuntik ke dalam ekonomi Negeri sehingga tahun 2030,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SEB dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Dengan jumlah pelaburan tersebut, Abang Johari percaya aktiviti ekonomi khususnya sektor pembinaan memerlukan ramai tenaga kerja mahir dan pihak kontraktor yang boleh menyiapkan projek.

Berhubung MoU tersebut, beliau yakin ia akan meningkatkan kapasiti dan kebolehan pekerja tempatan di sektor pembinaan.

“Ia bukan sahaja dapat memenuhi program pembangunan yang dilaksanakan SEB, tetapi juga membantu program pembangunan di seluruh Negeri secara keseluruhan.

“Kerjasama ini akan mewujudkan kumpulan pekerja yang memiliki kemahiran untuk melaksanakan pelbagai aktiviti pembinaan,” ujar Abang Johari.

Hadir sama Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti Dan Komunikasi Datuk Julaihi Narawi. — DayakDaily