Subjek tulisan khat: Jangan jadikan pelajar ‘tikus makmal’

William Mangor

KUCHING, 3 Ogos: Pengenalan tulisan khat (Jawi) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun hadapan harus dilaksanakan berdasarkan pilihan pelajar itu sendiri.

Ketua penerangan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, William Mangor, berkata rakyat tiada masalah dengan pengenalan subjek tersebut jika ia adalah subjek pilihan.

Ini kerana terdapat ibu bapa yang berpendapat bahawa subjek itu akan menambah beban kepada pelajar.


“Kita menerima rungutan dari ibu bapa Dayak yang prihatin akan isu mata pelajaran Jawi ini, kerana mereka bertanya adakah ini akan memberi faedah kepada anak-anak Dayak?

“Kementerian Pendidikan sepatutnya melakukan bancian atau cadangan dari pakar sebelum melakukan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara. Jika tidak ia seolah-olah menggambarkan kerajaan bersifat populis dan isu ini akan terpesong menjadi perkauman,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, sekolah sepatutnya menjadi platform untuk para pelajar mengasah bakat dan potensi mereka dan bukannya dijadikan “tikus makmal”.

William turut menggesa kerajaan negeri untuk mempercepatkan tuntutan autonomi pendidikan.

“Autonomi pendidikan sangat penting bagi Sarawak. Kita boleh menentukan apa hala tuju yang terbaik bagi memartabatkan pendidikan negeri.

“Apa yang Putrajaya ingin lakukan tidak memberi impak kepada Sarawak jika kita sudah mempunyai autonomi pendidikan,” katanya.

Semalam Kementerian Pendidikan bertegas untuk meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

Menurut kementerian itu, tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. — DayakDaily