Stor penyimpanan haram diesel bersubsidi sebanyak 17,180 liter digempur

Anggota KPDNHEP Miri bersama JSJ Miri mengempur stor haram tersebut pagi tadi (25 Okt 2022).

MIRI, 26 Okt : Sebuah lagi stor penyimpanan haram minyak diesel bersubsidi digempur semalam di Tudan.

Serbuan dilakukan pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada jam 11.30 pagi.

Menurut Ketua KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil, serbuan menemui kira-kira 17,180 liter diesel (RN 36,937) dalam sebuah lori, dua buah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah van.


Anggaran keseluruhan rampasan dianggarkan RM 255,937.

Lima lelaki warga tempatan berusia antara 26 dan 39 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Siasatan lanjut mendapati premis tidak memiliki sebarang kebenaran berhubung pemilikan diesel tersebut,” ujar Joe Azmi.

Pihaknya percayai stor tersebut disyaki dijadikan tempat mengumpul diesel bersubsidi sebelum dijual ke pengguna industri.

Kata Joe Azmi, modus operandi yang digunakan adalah mendapatkan bekalan diesel di stesen minyak secara berulang-ulang di sekitar Miri menggunakan kenderaan yang diubahsuai dengan tangki tambahan.

“Diesel akan disedut semula daripada tangki tambahan dan dikumpulkan di tangki simpanan stor,” Joe Azmi berkata.

Satu siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu diesel tanpa kebenaran pengawal dan dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily