Minyak diesel bernilai RM924,500 dirampas di Kuching

Pemeriksaan dilakukan oleh pasukan operasi.

KUCHING, 12 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menerima satu kes serahan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Kuching, Sarawak yang melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel.

Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata sekitar jam 10.30 pagi semalam, pasukan operasi anggota Penguatkuasa KPDN Kuching, Sarawak telah menerima satu kes serahan hasil serbuan oleh PPM Wilayah 5 ke atas sebuah kapal di kawasan Laut Barrange, Sungai Sarawak.

“Hasil pemeriksaan ke atas kapal tersebut telah menemui minyak diesel anggaran 430,000 liter dengan anggaran nilai RM924,500.


“Terdapat dua lelaki telah ditahan iaitu satu seorang daripadanya warganegara tempatan dan seorang lagi warganegara Myanmar telah diserahkan kepada pasukan operasi KPDN Kuching,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keseluruhan nilai rampasan termasuk kapal dianggarkan mencecah RM5 juta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk kesalahan memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperolehi dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.” kata Dominic.

Jelasnya, jika disabitkan kesalahan, jika pesalah ialah satu pertubuhan perbadanan, akan didenda tidak melebihi dua juta ringgit bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi lima juta bagi kesalahan kedua.

“Jika orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan maka boleh didenda tidak melebihi satu juta ringgit bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi tiga juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut WhatsApp 019-848 8000; Portal Aduan e-aduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-80, dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN. — DayakDaily