Stesen-stesen ternakan di negeri ini diswastakan — Dr Rundi

Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (file pic)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mei: Kerajaan memberi fokus kepada usaha meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan industri ternakan ruminan (lembu, kerbau dan kambing) di Sarawak.

Untuk tujuan itu, Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah mengambil inisiatif Public-Private Partnership (PPP) menswastakan Stesen-Stesen Ternakan.


“Sehingga kini, dua buah stesen ternakan telah diswastakan iaitu Stesen Ternakan Temudok di Sri Aman untuk pengeluaran baka kambing berkualiti manakala bagi Stesen Ternakan Karabungan di Miri adalah untuk pengeluaran baka lembu berkualiti.

“Kementerian saya juga telah merancang untuk menswastakan Stesen Ternakan Meragang di Lawas bagi pengeluaran kerbau berkualiti,” kata Dr Rundi.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab soalan Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor di Kompleks DUN hari ini.

Tambah Dr Rundi, tahap sara diri bagi daging lembu dan kambing adalah masih pada tahap yang rendah, iaitu 12 peratus dan 5.5 peratus.

Bagi industri penternakan ayam pula, Dr Rundi berkata Sarawak telah mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus bagi daging ayam.

Justeru katanya, kerajaan akan membantu penternak untuk memperluaskan industri ini bagi tujuan eksport.

Pada persidangan yang sama, Dr Rundi memaklumkan bahawa tiada projek agropolitan yang baru diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Walau bagaimanapun, projek agropolitan yang sedia ada akan terus dibangunkan,” ujar Dr Rundi. — DayakDaily