10 buah sekolah daif di Murum dinaik taraf

Datuk Roland Sagah Wee Inn

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mei: Sepuluh buah sekolah daif di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum telah dikenalpasti oleh Kementerian Pendidikan untuk dinaiktaraf.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, daripada jumlah tersebut, lima sekolah masih dalam perancangan manakala lima buah lagi dalam peringkat pelaksanaan.


“SK Long Gang di bawah projek IBS 2019 telah siap dinaik taraf. Manakala SK Batu Keling di bawah projek RM1B Fasa 2 sedang dalam pembinaan dengan kemajuan 13 peratus.

“SK Ulu Kakus di bawah projek RM1B Fasa 1 sedang dalam pembinaan (47 peratus) dan SK Metalun di bawah projek RMK11 juga sedang dalam pembinaan (12 peratus)

“SK Tegulang di bawah projek RMK11 dan dalam proses dokumentasi tender,” kata Sagah.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sementara itu, Sagah memaklumkan keseluruhan di Sarawak sebanyak 245 sekolah telah siap dinaik taraf dari tahun 2017 hingga 2022.

Kementerian Pendidikan menerusi inisiatif Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah mengenalpasti 455 sekolah daif di negeri ini untuk dinaik taraf. — DayakDaily