Kesesakan lalu lintas di Stakan seperti di Kuala Lumpur – Adun Stakan

Stakan
Datuk Hamzah Brahim

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mei: Masalah kesesakan lalu lintas luar biasa yang dihadapi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan harus ditangani segera, tegas Adun Stakan Datuk Hamzah Brahim.

Menurut beliau, kesesakan lalu lintas luar biasa itu bukan sahaja berlaku di waktu puncak tetapi di luar waktu puncak.


“Perkara ini menimbulkan banyak rungutan di kalangan penduduk sehingga ada yang menyamakan keadaan di Stakan sama dengan kesesakan yang berlaku di ibu negara kita, Kuala Lumpur.

“Ada yang berseloroh ‘Tak payah pergi KL nak tengok jalan sesak, pegi Stakan pun dah cukup’,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan penghargaan atas ucapan pembukaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 hari ini.

Tambah Hamzah, masalah kedua yang agak meruncing dan perlu ditangani segera ialah tekanan air rendah di kawasan perumahan terutama di kawasan Samarindah yang mempunyai kepadatan penduduk hampir 3,000 buah rumah.

Pada masa sama katanya, Stakan juga kerap berdepan masalah banjir kilat terutama di kawasan-kawasan perumahan.

“Justeru saya mohon supaya agensi-agensi yang terlibat dalam keputusan kelulusan projek perumahan atau kediaman serta bangunan komersial di kawasan Stakan, supaya melakukan kajian terperinci terutama berkenaan dengan aliran trafik, tekanan air dan juga banjir kilat yang berlaku .

“Saya mohon juga supaya mana-mana projek yang sudah ada kelulusan tetapi belum dibina, dikaji semula.

“Semua agensi terbabit perlu mencari kaedah bagi membincangkan isu ini supaya masalah seperti ini tidak berterusan,” katanya.

Dalam perbahasannya, Hamzah memaklumkan kerajaan sekarang sedang melaksanakan dua projek besar di kawasan Stakan.

Ia melibatkan Projek Menaik Taraf Jalan Datuk Mohd Musa dari Batu 8 Ke Bulatan Kota Samarahan dengan kos RM229.57 juta yang dijangka siap penghujung 2023, dan projek pembinaan Jalan Akses Ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan kos RM147.49 juta yang dijangka siap pada 2024. — DayakDaily