STA bimbang kenaikan premium kayu balak menjejaskan industri perkayuan S’wak

Kie Yik (tiga dari kiri) berucap ketika Mesyuarat Agung Tahunan STA, di Wisma STA, di Kuching.

KUCHING, Mac 28: Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) merasa bimbang industri perkayuan negeri ini akan terjejas tahun ini berikutan kerajaan negeri menaikkan premium kayu balak berlipat kali ganda tinggi dari 80 sen dan RM3 setiap meter padu kepada RM50 setiap meter padu.

Pengerusi STA Pemanca Datuk Wong Kie Yik berkata kenaikan premium tersebut adalah mengejutkan bagi peserta industri terbabit yang ketika ini sedang berhadapan pasaran yang tertekan, kos pengeluaran yang tinggi, persaingan sengit dengan negara lain dan jangkaan akan berlaku kemerosotan pengeluaran kayu balak di masa depan.

“Peserta industri (perkayuan negeri ini) ini telah terkejut dengan peningkatan yang berlipat kali ganda dalam Premium Kayu Bukit, kepada RM50 setiap meter padu, dari 80 sen bagi semua jenis kayu balak yang ditebang dari hutan berbukit dan RM3 bagi spesis kayu balak bukit yang ditebang dari kawasan ditukarkan kepada pertanian,” katanya ketika Mesyuarat Agung Tahunan STA, di Wisma STA, di sini, hari ini.


Juga ahli STA yang menghadiri mesyuarat terbabit ialah setiausahanya Dato Henry Lau Lee Kong, bendahari serta pengerusi jawatankuasa pembalakkan tanah paya Philip Choo Kwong Hui, pengerusi jawatankuasa perladangan hutan Peter Ling Kwong Hung, pengerusi jawatankuasa perabot dan pembuatan kayu lain Yek Siew Liong, pengerusi jawatankuasa pembalakan bukit Dato Sri Law Kiu Kiong, pengerusi jawatankuasa pemasaran kayu balak James Ho Yam Kuan,pengerusi jawatankuasa mencetak Penghulu Law Buong Hoo, naib pengerusi jawatankuasa produk panel Paul Wong, pengerusi jawatankuasa kilang papan Annie Wong How Bing dan pengerusi jawatankuasa pemasaran produk perkayuan Stephen Hii Hium Ung.

Kie Yik berkata walaupun STA mengalukan hasrat kerajaan negeri mahu membiayai lebih ramai pelajar pintar tempatan ke institusi pengajian tinggi melalui Tabung Yayasan Sarawak dan mengenakan kenaikkan premium itu, namun pihaknya merasakan beban terbabit tidak sepatutnya diletakkan sepenuhnya di bahu peserta industri perkayuan negeri ini sahaja dan sepatutnya dikongsikan.

Disamping itu, pihaknya mahu industri perladangan hutan di negeri ini tidak dibandingkan dengan industri itu yang jauh lebih matang di negara lain disebabkan pertumbuhan setiap spesis pokok balak adalah dipengaruhi banyak faktor termasuklah cuaca dan topografi yang berbeza antara tempat di dunia.

“Maka spesis pokok balak yang banyak ditanam di negara lain mungkin tidak sesuai ditanam di Sarawak. Tambahan, industri perladangan hutan Sarawak adalah masih muda dibandingkan negara seperti Finland, Sweden dan New Zealand,” katanya.

Katanya pihak industri perkayuan tempatan masih mencari spesis pokok balak yang sesuai ditanam di iklim tropika dan keadaan muka bumi sukar negeri ini dengan STA telah membiayai projek pembangunan dan penyelidikan (R&D) ke arah itu sehingga mencecah RM6.5 juta membabitkan spesis pokok Meranti, Sawih, Kapur, Kelampayan dan Acacia Mangium.

“STA juga memohon kerajaan negeri mengikut sokongan yang diberikan kerajaan China dengan menyelesaikan isu seperti tuntutan tanah hak adat (NCR), peningkatan kos buruh disebabkan polisi kerajaan yang mahu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing dan pertindihan kawalan pentadbiran,” katanya.

Kie Yik berkata ketika lawatan sambil belajar pihaknya ke selatan China sebelum ini, pihaknya telah tertarik dengan kesungguhan kerajaan China membangunkan ladang hutannya sehingga tidak ada mengutip loyalti atau cukai terhadap perladangan terbabit. — DayakDaily