Skim keselamatan social untuk orang bekerja sendiri diperluaskan kepada 19 sektor mulai 1 Jan 2020

Logo Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

KUCHING, Dis 31: Mulai 1 Januari 2020, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal lain di seluruh negara.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan, ini dilaksanakan berikutan Perintah Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Pindaan Jadual Pertama) 2019 dalam Warta Kerajaan Persekutuan, P.U.(A) 374/2019.

“Kini, berkuat kuasa 1 Januari 2020, SKSPS meliputi 19 sektor tidak formal lain di seluruh negara.

“Dengan perluasan ini, kira-kira 2.8 juta individu yang bekerja sendiri boleh mencarum dengan SKSPS,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, Orang Bekerja Sendiri (OBS) bertaraf warganegara atau pemastautin tetap Malaysia tanpa mengira had umur boleh mendaftar dan mencarum dengan PERKESO sekiranya menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri yang bertujuan mencari nafkah di dalam sektor-sektor terbabit.

Kesemua 19 sektor-sektor tersebut adalah perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan, pertanian, penternakan dan pengeluaran ternakan, pengambilan hasil hutan, perikanan, penyediaan dan penjualan makanan, aktiviti pengilangan produk, kerja-kerja pembinaan, menjaja atau berniaga, perkhidmatan premis penginapan, perniagaan dalam talian, perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat, perkhidmatan pengumpulan dan pemprosesan data, perkhidmatan ejen, perkhidmatan profesional, khidmat sokongan, persendirian, aktiviti persembahan, perfileman, karya seni dan grafik, perkhidmatan penjagaan, perawatan dan pemulihan kesihatan dan perkhidmatan isi rumah.

PERKESO telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 mulai 1 Jun 2017 yang memberi perlindungan kepada Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) di bawah SKSPS.

Sebagai permulaan, skim ini telah diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan bas.

Menurut kenyataan media yang sama, dengan caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan, OBS boleh mendaftar dan mencarum secara dalam talian (online) melalui https://matrix.perkeso.gov.my atau bayaran tunai di mana-mana pejabat PERKESO.

Bayaran caruman adalah secara prabayar dan OBS akan mendapat perlindungan SKSPS sebaik sahaja caruman dibuat.

Di bawah SKSPS, manfaat yang akan diterima OBBS adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Pendidikan serta Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional termasuk Program ‘Return To Work’ (RTW). — DayakDaily