Waris pemain sape Saufi Aman terima faedah Perkasa

Phillip (tiga dari kiri) menyampaikan bayaran faedah kepada waris Saufi Aman. Turut kelihatan Abdul Karim (tiga dari kanan)

KUCHING, 7 Sept: Keluarga Allahyarham Saufi Aiman Yahya, pemain sape professional yang meninggal pada Jun lepas, layak menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sarawak Philip Sangkan berkata, keluarga seterusnya akan menerima bayaran faedah pencen bulanan sepanjang hayat.

“Hasil siasatan mendapati Allahyarham telah mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri sebagal Orang Berinsurans yang Bekerja Sendiri (OBB5) bermula pada 2 Jun 2021 di bawah Sektor Kesenian.


“Caruman yang dibayar di bawah skim tersebut masih dalam tempoh perlindungan dan ini melayakkan waris Orang Berinsurans layak menerima Faedah Orang Tanggungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,” katanya.

Tambah Phillip, difahamkan bahawa pada tarikh kematian, Allahyarham masih berstatus bujang.

Hari ini, Phillip telah menyampaikan bayaran faedah kepada waris dan telah disaksikan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II.

Berita pemergian Saufi Aiman yang meninggal pada 10 Jun 2021 yang lalu telah mengejutkan industri hiburan khususnya di Sarawak.

Allahyarham telah ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 8 malam di pejabat Persatuan Anak Seni Sape Kuching.

Pihak polis mengklasifikasikan punca kematian allahyarham sebagai kematian mengejut. — DayakDaily