Sinergi Kerajaan Persekutuan dan Negeri perkasa sekuriti makanan negara

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 28 Jun: Kerajaan Negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

Ia diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur hari ini.

“Mesyuarat pada kali ini memberikan penekanan untuk mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini,” katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Ismail Sabri, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian dengan:

Ini termasuk mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi.

“Turut dipersetujui ialah Pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan.

“Mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan.

“Menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.

“Menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan.

“Dan menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan,” ujar beliau.

Menurut Ismail Sabri lagi, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan.

Sementara itu, mesyuarat juga telah membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di Peringkat Negeri. — DayakDaily