Sindiket curi bekalan elektrik tumpas di Miri

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari (kanan) menunjukkan rampasan mesin melombong wang kripto jenis Bitcoin kepada media selepas sidang akhbar.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 18 Feb : Sindiket mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan wang kripto jenis bitcoin tumpas, menerusi serbuan di lima buah premis kedai di daerah ini pada Selasa dan Rabu (16 Feb dan 17).

Tiga daripada serbuan terbabit dibuat pada 16 Februari pada jam 6.15 petang; 9.19 malam dan 9.52 malam, manakala dua lagi serbuan pada 17 Feb sekitar jam 2.13 pagi dan 3.04 pagi.


Kesemua lima serbuan ini dilakukan di premis rumah kedai yang terletak di Assar Commercial Cemtre, Jalan Miri Bypass off Jalan Cahaya Miri.

Semasa serbuan, tiada penjaga atau pemilik premis dikesan berada di dalam atau sekitar bangunan itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari dalam satu sidang akhbar pada Khamis (18 Feb), sebanyak 759 unit mesin melombong wang kripto jenis bitcoin dirampas dalam serbuan yang dilakukan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Miri(BSJK) bersama petugas Sarawak Energy Berhad (SEB) sepanjang dua hari serbuan tersebut.

Menurutnya, hasil serbuan terbabit membawa rampasan bernilai sebanyak RM4.4 juta.

“Serbuan ini yang membabitkan perlombongan bitcoin adalah yang terbesar setakat ini di Sarawak bagi tahun 2021,” ujarnya.

Beliau menambah, aktiviti perlombongan bitcoin ini telah menyebabkan pihak SEB kerugian sebanyak RM4.32 juta.

“Kita sedang mengesan pemilik kelima-lima buah premis kedai tersebut bagi membantu siasatan,” ujar Hakemal.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan termasuk mengenalpasti penglibatan pemilik-pemilik premis berkenaan di dalam kes ini.

Seksyen 379 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian bolehlah dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 427 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Selain itu, siasatan turut dijalankan pihak Kementerian Utiliti Sarawak di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik Sarawak yang memperuntukkan penalti sehingga RM100,000 atau lima tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

Turut hadir pada sidang akhbar tersebut ialah Inspektor Razin Meslan dari BSJK IPD Miri dan wakil dari SEB.-DayakDaily