Terus sokong calon GPS pastikan pembangunan berterusan di Pakan

Gasan (dua, kanan) menyerahkan borang permohonan keahlian baharu PBB kepada Awang Bujang. Turut kelihatan (dari kiri) Penghulu Dandan, Alom dan Tr Sedau.

KUCHING, 18 Feb: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan diseru untuk terus memberikan sokongan calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) akan datang.

Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pakan, Gasan Empera berkata sokongan tersebut penting bagi memastikan pembangunan berterusan dapat di laksanakan di kawasan DUN berkenaan.

“Saya berharap semua pengundi di DUN Pakan ini menyokong calon PBB yang mewakili GPS pada PRN ke-12 nanti untuk memastikan setiap pembangunan di kawasan ini dapat diteruskan bagi manfaat generasi akan datang,” katanya pada Majlis Ringkas Penyerahan Borang Permohonan Keahlian Baharu bagi menyertai PBB di ibu pejabat PBB di sini semalam.


Yang turut hadir Setiausaha PBB Pakan Alom Tudan, Penghulu Dandan Bujang dan Tuai Rumah Sedau Empali.

Sebanyak 290 borang permohonan keahlian baharu bagi kawasan DUN Pakan diserahkan kepada Setiausaha Eksekutif PBB Datuk Awang Bujang Awang Antek pada majlis berkenaan.

Gasan berkata, ketika ini PBB Pakan mempunyai kira-kira 7,500 orang keahlian dengan 6,560 merupakan ahli baharu.

Kerusi DUN Pakan ketika ini disandang oleh Tan Sri William Mawan Ikom yang mula menjadi wakil rakyat di kawasan DUN berkenaan sejak 1991.

Kerusi DUN Pakan yang secara tradisinya merupakan kerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) diwakili Mawan yang sebelum ini merupakan bekas Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP kini PDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Beliau bagaimanapun menyertai PBB pada tahun 2016 selepas memenangi kerusi DUN Pakan pada PRN-11 atas tiket Calon Langsung Barisan Nasional (BN) pada ketika itu.

Sebelum ini, Mawan pernah dilaporkan sebagai berkata keputusan untuk menyertai PBB dilakukan susulan ketidakpastian berhubung status sesetengah calon mesra Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri 2016. -DayakDaily