Sila rokok di zon khas – DBKU

Salah satu zon merokok yang disediakan DBKU di Tebingan Kuching.

KUCHING, 3 Jan: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengingatkan perokok di kawasan pentadbirannya dalam bandaraya ini supaya merokok di zon khas yang telah disediakan.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perokok didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika didapati merokok di luar kawasan zon merokok terbabit.

“Perokok tegar juga diingatkan supaya tidak membuang rokok sebarangan seperti membuang di dalam longkang, kaki lima kedai dan ada yang diselitkan di celah pokok bunga,” menurut kenyataan DBKU yang disiarkan di laman Facebook baru-baru ini.


Menurut DBKU, paling menyakitkan hati orang ramai ialah apabila perokok dengan mudah tanpa rasa bersalah membuang abu dan puntung rokok di bawah meja makan dan kemudian memijaknya.

“Walaupun saiznya (puntung rokok) kecil tetapi jika jumlahnya banyak, sesuatu kawasan itu pasti akan kelihatan kotor dan mencacatkan pemandangan,” kata dewan bandaraya tersebut.

Poster DBKU mengenai denda kesalahan merokok di luar zon merokok disiarkan di laman Facebooknya.

Di samping itu, puntung rokok yang dibuang merata-rata akan memasuki longkang dan mengalir ke sungai yang seterusnya mencemarkan sungai dan menjejaskan kehidupan akuatik, jelas DBKU.

Bermula 1 Jan, 2019, DBKU juga telah menguatkuasa larangan merokok di premis makanan di kawasan pentadbirannya. Pihak perbandaran telah menyediakan zon khas berhampiran kawasan-kawasan perniagaan untuk memudahkan dan menggalakkan penggunaan zon merokok. — DayakDaily