Sharifah Hasidah: Jangan tunjuk pandai tetapi kurang bijak

Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali

KUCHING, Julai 4: Kerajaan negeri Sarawak tetap akan melaksanakan kuasanya di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan Kanun Tanah Negeri, demikian tegas Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek Sarawak, Sharifah Hasidah Sayed Aman Ghazali.

Tegas Sharifah Hasidah, kerajaan negeri tetap menguatkuasakan OMO 1958 bermula Julai 1 lalu meskipun Petronas masih ‘berdegil’ dan menganggap syarikat berkenaan masih memiliki kuasa eksklusif terhadap industri minyak dan gas di negara ini termasuk Sarawak.

“Kita (kerajaan negeri) sangat akomodatif dan bersifat terbuka dengan tidak berniat menganggu atau menjejaskan operasi Petronas di Sarawak.


“Bagaimanapun, Petronas tetap berpendirian Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di Malaysia termasuk di Sarawak.

“Tindakan seumpamanya dilihat ‘pandai tetapi kurang bijak’,” katanya dalam satu status dalam Facebooknya.

Pada Jun 22 lalu, kerajaan negeri Sarawak berkata akan menguatkuasakan undang-undang dalam mengawal selia berkaitan aktiviti minyak dan gas di perairan negeri itu pada Julai 1 ini.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan media berkata, penguatkuasaan undang-undang berkaitan aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu akan dilaksanakan seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini.

Kata kenyataaan itu, keputusan itu diputuskan selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak untuk mendapat perisytiharan bahawa PDA 1974 terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di Sarawak.

Manakala pada Jun 4 lepas, Petronas telah memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding itu mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan, memohon perisytiharan bahawa PDA 1974 terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan di Sarawak. — DayakDaily