Seramai 16,500 ahli farmasi didaftar di Malaysia sehingga Ogos tahun ini

Dr Ramli (tengah) melawat gerai pameran ubat-ubatan sempena Hari Farmasi Sedunia 2018 Peringkat Negeri Sarawak di Plaza Merdeka, Kuching.

KUCHING, Sept 30: Lembaga Farmasi Malaysia sejak 1952 sehingga setakat Ogos tahun ini sudah mendaftarkan keseluruhannya seramai 16,500 ahli farmasi di negara ini dan dijangka akan terus meningkat berikutan ada 22 universiti tempatan menawarkan ijazah farmasi.

Pengarah Agensi Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan, Dr Ramli Zainal berkata demikian dan mendedahkan sebelum ini hanya seramai 20 ahli farmasi sahaja yang didaftarkan dengan lembaga terbabit ketika mula ditubuhkan pada 1952.

“Sehingga Ogos tahun ini Lembaga Farmasi Malaysia telah mendaftarkan hampir 16,500 ahli farmasi. Sebanyak 22 universiti tempatan juga ada menawarkan ijazah ahli farmasi dan membolehkan setiap tahun hampir seramai 1,500 ahli farmasi memasuki tenaga kerja (tempatan),” katanya ketika merasmikan Hari Farmasi Sedunia 2018 Peringkat Negeri Sarawak di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.


Acara terbabit yang dianjurkan Sarawak Pharmaceutikal Society (SPS) bersama Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal Jabatan Kesihatan Sarawak dan Plaza Merdeka dengan tema tahun ini “Ahli Farmasi Adalah Pakar Ubat Anda” juga dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Abu Hassan Alshaari Abd Jabar yang juga pengerusi acara terbabit dan Presiden SPS, Susan Tang Siew Chin.

Dr Ramli berkata dengan berterusannya penambahan ahli farmasi yang memasuki tenaga kerja tempatan, pihaknya sejak 2017 sudah berjaya mencapai kouta nisbah seorang ahli farmasi bagi setiap 2,000 orang penduduk di negara ini.

“Kami akan terus maju lagi dengan cuba menyediakan pesakit peluang lebih baik bertemu ahli farmasi, jadi ahli farmasi memainkan peranan penting dalam sistem penjagaan kesihatan dengan impak paling hebat kepada kesihatan awam,”katanya.

Katanya bagi setiap pesakit memasuki farmasi, ahli farmasi memastikan ubat yang betul diberikan kepada pesakit dan dengan dos yang betul serta formulasi paling sesuai disamping bekerjasama dengan profesional penjagaan kesihatan lain bagi memastikan setiap individu menerima rawatan yang optimum.

Dr Ramli berkata berikutan cabaran masa kini dan perubahan lanskap penjagaan kesihatan maka peranan ahli farmasi perlu juga berubah bersama dengan keperluan dan jangkaan pesakit supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik. — DayakDaily