Seorang remaja dan kanak-kanak perempuan hilang selepas disyaki diculik dua lelaki guna van putih

Mangsa berusia 17 tahun yang disyaki diculik. 

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 25: Seorang remaja dan seorang kanak-kanak perempuan yang dikatakan menjual air di gerai di tepi Jalan FAC-Matang berhampiran Taman Kopodim di sini disyaki diculik oleh dua lelaki dalam satu kejadian, petang tadi.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan laporan diterima, dua remaja yang disyaki diculik itu berusia 17 dan 10 tahun.

Katanya, semasa kejadian, kakak mangsa telah ternampak dua lelaki bertopeng telah menarik kedua-dua mangsa ke dalam sebuah van berwarna putih sebelum meninggalkan tempat kejadian.

“Panik melihat keadaan adik dan anak saudaranya ditarik secara paksa oleh dua lelaki yang berbadan besar, dia kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya di sini hari ini.

Lokasi kejadian kedua-dua mangsa yang menjual air sebelum diculik.

Jurucakap polis menambah, kakak mangsa itu bagaimanapun tidak sempat mengesan nombor pendaftaran van tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, pihak polis sedang melancarkan gerakan mengesan kedua-dua mangsa yang disyaki diculik dua lelaki.

“Kita (polis) sudah melaksanakan operasi melibatkan sekatan bagi mengesan van yang digunakan dua penculik tersebut,” katanya.  — DayakDaily