Unit rumah Program RSP di Lundu dan Sematan akan ditambah

Mohd Asman (kiri) memberi taklimat tentang Program Rumah Spektra Permata (RSP) Lundu/Sematan.

Oleh Chris Bishop

LUNDU, Ogos 25: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini melawat ke tapak pembinaan Program Rumah Spektra Permata (RSP) Lundu/Sematan.

Pada lawatan itu, beliau mendengar taklimat yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Mohd Asman Ahmad.


Menurut Mohd Asman, program itu melibatkan pembinaan 26 unit rumah di Lundu dan 25 unit di Sematan.

“Seperti yang telah diumumkan pada tahun 2017, Program RSP Lundu melibatkan pembinaan 26 unit rumah dengan kos RM4.9 juta.

“Sekarang, pembinaan yang bermula pada bulan Mei tahun ini telah 20 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mac 2020,” katanya.

Unit Rumah Spektra Permata yang sedang dibina.

Tambah Mohd Asman, rumah-rumah ini akan diagihkan kepada mereka yang layak berdasarkan kelayakan Jabatan Tanah dan Ukur, dan HDC.

Pemilihan pemilik rumah atau mereka yang layak akan dijalankan pada bulan Disember tahun ini.

Pembiayaan pula akan diuruskan Mutiara Mortgage and Finance dan tempoh maksima ditetapkan 30 tahun.

Seunit RSP Lundu/Sematan berkeluasan 820 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, termasuk ruang di bawah rumah dan dijual dengan harga dalam lingkungan RM90,000 sehingga RM120,000.

Di sesi taklimat itu, Abang Johari berkata mahukan HDC membina banyak lagi unit rumah spektra di Lundu dan Sematan.

Katanya, kerajaan Sarawak akan menanggung kos pembinaan kemudahan asas seperti jalan dan parit.

“Kurangkan rumah teres dan bina banyak rumah ‘single’. Ianya lebih baik untuk rakyat seperti di Piasau, Miri,” ujar Abang Johari. — DayakDaily