Remaja lelaki ditemui lemas di sebuah tasik di Sarikei

Gambar komposit semasa operasi SAR tersebut malam tadi.

SARIKEI, 27 Jun: Seorang ramaja lelaki dijumpai mati lemas selepas dipercayai mandi bersama rakan-rakannya di sebuah tasik di Jalan Kin San, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.35 malam tadi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei terus ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi, komander operasi mengesahkan kejadian mangsa lemas ketika mandi bersama rakan di lokasi berkenaan dan terdapat selipar mangsa dijumpai di tepi tasik.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sehingga jam 10.30 malam sebelum ditangguhkan disebabkan keadaan yang gelap.

“Bagaimanapun, pada jam 12.30 tengah malam, kawalan BBP Sarikei menerima panggilan dari pihak polis memaklumkan mangsa telah dijumpai terapung di kawasan jentera pengorek tanah di tasik berkenaan oleh keluarganya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan mayat berusia 13 tahun itu kemudian diserahkan kepada polis dan seterusnya dihantar ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya.

Operasi SAR diistiharkan tamat pada jam 1 pagi. — DayakDaily