Sekolah di Layar, Betong guna sistem modul

File photo for illustration purposes. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 18 Sept: Beberapa sekolah di kawasan Betong khususnya di Layar terpaksa menggunakan sistem modul untuk meneruskan sesi pembelajaran semasa pandemik Covid-19.

Menurut Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak(DTTAS) Wellie Henry Majang, sekolah yang terlibat adalah SK Nanga Ajau, SK Nanga Spak, SK St Mark, SK ST John dan Nanga Tiga.

“Guru-guru di sekolah ini tidak dapat mengendalikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah(PdPR) disebabkan kawasan di sekolah tersebut tidak semua ada liputan internet.

“Kalau ada pun sangat lemah, tidak mampu digunakan untuk pembelajaran dalam talian,” katanya menerusi kenyataan bersama Naib Presiden DTTAS Diana David Itang.

Menerusi sistem modul tambah Willie, pelajar-pelajar dari kampung yang berdekatan terpaksa menghantar dan mengambil kerja sekolah dan latihan yang diberikan oleh guru-guru.

Katanya, ini amat menyulitkan dan ada yang terpaksa berjalan kaki dengan jarak ke sekolah adalah sangat jauh.

Justeru ujar beliau lagi, kerajaan negeri dan persekutuan termasuk pihak industri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus saling berkerjasama untuk menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan.

“Pertama, sediakan prasarana internet dengan kelajuan yang baik.

“Kedua, pakej bantuan gajet pada kumpulan pelajar yang memerlukan. Gajet bukan lagi barang mewah, tetapi kini ia asas keperluan pembelajaran,” katanya.

Sementara itu ujar Willie, kini kita mendepani isu baharu yang akan meningkatkan jurang pendidikan iaitu pemilikan gajet dan akses kepada internet.

Jelas beliau, jurang pendidikan akibat ketiadaan gajet dan akses internet jauh lebih kritikal dan serius berbanding sekolah daif kerana isu ini melangkaui ke peringkat unit paling asas institusi pendidikan iaitu pelajar.

“PdPR jika tidak diuruskan dengan baik, antara pelajar di bandar dan pedalaman akan menghasilkan jurang pencapaian pendidikan sangat besar.

“Apa yang membimbangkan kita, apabila selesai mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19, kita berdepan dengan jurang pendidikan semakin melebar antara pelajar bandar dan luar bandar atau kumpulan pelajar kaya dengan pelajar miskin.

“Untuk itu, Kerajaan perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama agar memberi keutamaan untuk memperkasakan liputan telekomunikasi dan capaian internet di bahagian Betong,” katanya. — DayakDaily