Dua ‘superman’ ditahan di FAC Matang

Operasi yang dijalankan di Jalan FAC Matang

KUCHING,17 Sept: Dua remaja lelaki ditahan kerana melakukan aksi ‘superman’ semasa menunggang motosikal di Jalan FAC Matang, Khamis lepas.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan melalui kenyataan akhbarnya berkata kedu-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda dari RM5,000 sehingga RM15,000 bagi kesalahan pertama.

“Seramai dua remaja ditahan kerana melakukan aksi tunggangan yang melulu dan merbahaya iaitu berlumba sambil melakukan aksi meniarap di tempat duduk motosikal ala-ala aksi ‘superman’.

“Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Padawan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, terdapat 15 saman dikeluarkan dalam operasi ‘Op Samseng Jalanan’ tersebut atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Padawan ASP Kenny Charles Juta itu dilakukan dari jam 5 petang hingga 10 malam.

“Orang ramai terutamanya ibu bapa diingatkan supaya memantau aktiviti anak-anak mereka apabila mengunakan motosikal supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram yang tidak berfaedah,” katanya. ā€” DayakDaily