Sebanyak 30,400 isi rumah luar bandar belum nikmati bekalan elektrik selama 24 jam

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom

KAPIT, Sept 2: Dianggarkan kira-kira 30,400 isi rumah yang menetap di kawasan luar bandar negeri ini masih belum menikmati kemudahan bekalan elektrik selama 24 jam.

Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, jumlah 9 peratus tersebut atau 30,400 isi rumah itu merupakan kumpulan yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, menyediakan kemudahan bekalan elektrik kepada rakyat yang menetap di kawasan berbukit, gunung serta pedalaman adalah suatu cabaran kepada kerajaan negeri menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB).


“Kita sedar penduduk negeri ini menetap secara bertaburan dan ada yang tinggal di kawasan berbukit, bergunung dan jauh di pedalaman.

“Namun, ia bukan menjadi alasan kepada kerajaan negeri menerusi SEB untuk tidak berusaha menyediakan bekalan elektrik ini kepada isi rumah yang belum menikmati kemudahan asas itu,” katanya di Sungai Pila dekat sini hari ini.

Dr Rundi menambah, sehubungan itu, rakyat yang menetap di kawasan luar bandar perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri dan SEB dalam menyelesaikan isu kebenaran penggunaan tanah bagi program pembekalan elektrik di negeri ini.

Jelasnya, ia adalah selaras dengan aspirasi dan visi kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik sepenuhnya kepada rakyat Sarawak menjelang tahun 2025.

“Kerajaan negeri juga yakin menerusi program penyaluran bekalan elektrik Skim Elektrik Luar Bandar Sarawak (SARES) yang berjumlah RM20 juta yang dibangunkan di situ.

“Program ini dapat memberi manfaat kepada 2,832 orang daripada 322 keluarga dari 18 rumah panjang di Sungai Pila, Sungai Gaat dan di Sungai Katibas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, bagi pelaksanaan projek berasaskan komuniti, masyarakat setempat haruslah memberikan keizinan bagi tanah milik mereka dibersihkan dan dibangunkan tanpa syarat.

“Sebaik siap, sistem tersebut akan diserahkan kepada komuniti setempat terbabit untuk operasi dengan SEB akan menjalankan penyelenggaraan dari semasa ke semasa,” jelasnya lagi.

Berdasarkan rekod, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi tempoh 2016-2020 untuk menyediakan bekalan elektrik di bawah program SARES.

Projek itu melibatkan 8,700 buah keluarga di seluruh negeri dan sehingga kini lebih 2,300 keluarga dari 98 kampung dan rumah panjang telah menikmati bekalan elektrik selama 24 jam. — DayakDaily