JKR digesa menangani masalah kesesakkan lalulintas di Kota Samarahan

Kesesakkan laluluntas yang berlaku di salah satu bulatan besar di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Sept 2: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mencadangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memasang lebih banyak lampu isyarat, membina cabang jalan dan jejambat sekitar Kota Samarahan bagi mengurangkan masalah kesesakkan lalulintas di kawasan terbabit.

Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos mencadangkan demikian berikutan jalan raya utama dan lebuh raya sekitar Kota Samarahan bukan dibawah penyelengaraan majlis perbandaran terbabit tetapi JKR, namun orang ramai kerap mengadukan masalah terbabit kepada majlis perbandaran itu.

“Sebagai langkah jangka masa pendek, MBKS sudah kerap kali mencadangkan kepada JKR supaya memasang lampu isyarat di bulatan kritikal. Bagi jangka masa panjang, tiada pilihan kecuali membina banyak cabang jalan dan jejambat,” katanya dalam kenyataan medianya di sini, hari ini.

Peter berkata walaupun cadangan terbabit akan menelan kos yang tinggi tetapi ianya pasti akan mampu mengurangkan kesesakkan lalulintas di Kota Samarahan yang ketika ini semakin bertambah disebabkan pertambahan kawasan perumahan, pejabat kerajaan dan komersil serta kedai.

Selain itu, siapnya Jambatan Batang Samarahan baharu-baharu ini menyebabkan penduduk dari Simunjan, Asajaya dan Sadong Jaya lebih mudah mengunjungi Kota Samarahan dan seterusnya menambahkan lagi masalah kesesakkan lalulintas kawasan itu.


“Setiap hari saya menerima banyak aduan dan rungutan mengenai kesesakkan lalulintas dari penduduk di sini yang mula merasa sedikit kecewa dan marah dengan masalah terbabit,” katanya.

Disamping itu, disebabkan penduduk Kota Samarahan kini mencecah 200,000 orang, MPKS meminta kerajaan menimbangkan semula cadangan membina sebuah hospital awam bagi kawasan terbabit yang juga banyak institusi pengajian tinggi, pusat latihan kemahiran, kem tentera dan pejabat kerajaan.

“Kota Samarahan perlu menyelesaikan isu kesesakkan lalulintas dan kekurangan hospital awamnya dengan lebih cepat adalah lebih baik. MPKS berharap kerajaan boleh melihat perkara ini dan memberikannya keutamaan,” kata Peter dengan menegaskan beliau hanya membantu mendedahkan masalah penduduk itu kepada kerajaaan dan berharap ianya dapat diberikan perhatian. — DayakDaily