Tujuh sekeluarga hilang tempat tinggal, rumah musnah terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Merdang Limau.

KOTA SAMARAHAN, Sept 3: Tujuh sekeluarga hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka di Kampung Merdang Limau di sini ranap terbakar awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu menyebabkan sebuah rumah jenis setingkat separuh kekal musnah terbakar 100 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.51 pagi.


Jelasnya, sejurus menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sepasukan tujuh anggota bomba dari BBP Tabuan Jaya juga bergegas ke tempat kejadian untuk membantu pasukan pertama.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan sebelum operasi memadam kebakaran segera dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penghuni rumah tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri.

Katanya, kejadian berkenaan juga tidak melibatkan kes kecederaan dan kemalangan jiwa.

“Operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 4.30 pagi.

“Setakat ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu,” ujarnya. — DayakDaily