SEB sasarkan 100 peratus liputan bekalan elektrik di Sarawak menjelang 2025

Sharbini (tengah) menyampaikan duit raya dan bersalaman dengan anak yatim dari pertubuhan kebajikan yang menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Sarawak Energy di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat.

KUCHING, Jun 11: Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) mensasarkan 100 peratus kawasan di negeri ini akan mendapat liputan bekalan elektrik menjelang 2025 melalui pelbagai projek yang sedang dijalankannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Sharbini Suhaili berkata demikian dengan setakat ini sudah sebanyak 95 peratus kawasan di seluruh negeri ini sudah mendapat bekalan elektrik terutamanya di luar bandar melalui projek Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) yang dijalankan syarikat itu.

“Kami akan terus melaksanakan projek SARES yang telah mendapatkan pengiktirafan antarabangsa. Ini sejajar matlamat kami untuk mencapai liputan bekalan elektrik sebanyak 100 peratus menjelang 2025,” katanya ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Sarawak Energy di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, hari ini.


Sharbini berkata projek utama lain syarikat terbabit bagi memperluaskan liputan dan memastikan bekalan tenaga elektrik di negeri ini terus stabil kepada pelanggan ialah projek Loji Janakuasa Arang Batu Balingian yang dijangka akan beroperasi pada suku ketiga tahun ini, projek Hidroelektrik Mini Kota 2 (di Lawas) yang dijangka beroperasi pada suku keempat tahun ini dan juga Projek Hidro Baleh Tanjung Kidurong Turbin Gas Kitaran Bergabung.

Sharbini (kiri) menyampaikan duit raya dan bersalaman dengan warga emas dari pertubuhan kebajikan yang menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Sarawak Energy di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat.

“Kami sehubungan itu memohon kerjasama menyeluruh dari semua pihak, supaya isu-isu seperti hak milik dan status tanah hendaklah disealesaikan secara baik mengikut semangat muafakat supaya pelaksanaan projek pembekalan elektrik terbabit akan berjalan dengn lebih lancar dan kita semua akan dapat menikmati bekalan elektrik yang stabil,” katanya.

Disamping itu, beliau juga mendedahkan Sarawak Energy merancang menyediakan beberapa unit set janakuasa mudah alih 500 KVA yang boleh berfungsi sebagai sumber elektrik alternatif ketika gangguan bekalan elektrik dirancang atau tidak dirancang di negeri ini.

“Ini akan memperbaiki dan juga mempercepatkan waktu bertindak syarikat kami (terhadap masalah gangguan bekalan elektrik di negeri ini),” katanya dengan menasihatkan penduduk negeri ini supaya mengunakan peralatan elektrik dengan cara yang betul bagi mengelakkan bekalan elektrik terputus di kawasan mereka ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang. — DayakDaily